kini kita sudah dewasa

Monday, January 2, 2012

Destinasi 10: Setahun Bergelar Dewasa

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you.

Sepertimana yang kita sedia maklum, 2011 baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada kita dan tahun 2012 pula datang menjengah. Ini bermakna, umur kita sudah meningkat sebanyak satu anak tanggga lagi dan pada masa yang sama hayat kita pula sudah berkurang dan menurun satu anak tangga juga.

Untuk aku pula, tahun ini adalah tahun umur aku akan meningkat menjadi 19 tahun. Ya saudara-saudari yang setia membaca, sudah semakin tua aku ni sebenarnya. Fakta ini juga membawa maksud bahawa, sudah setahun jugalah aku melangkahkan kaki ke alam kedewasaan.

Sungguhpun begitu, sejujurnya, aku masih belum memahami sepenuhnya erti sebenar kedewasaan. Kehidupan di kolej mengizinkan aku untuk sedikit sebanyak mengenal erti kehidupan sebagai seorang dewasa. Daripada apa yang telah aku lihat sepanjang setahun aku bergelar seorang dewasa, boleh jugalah aku simpulkan bahawa alam dewasa adalah alam yang sedikit membosankan. Haha, mungkin kerana seorang yang bergelar dewasa itu perlu memikul pelbagai tanggungjawab dan aku pula, masih belum bersedia untuk memikul sebahagian daripadanya.

Alam dewasa sememangnya sungguh berbeza dengan alam persekolahan. Sebagai contoh, kehidupan sebagai seorang dewasa di kolej, sememangnya tidak memberi anda terlalu banyak peluang untuk menarik nafas lega. Kerja tutoran, 'assignments', nota kuliah, peta konsep, peta minda, kerja tambahan, kelas tambahan, program kecemerlangan, ceramah motivasi, program input semasa. Aku sentiasa digelumangi dengan elemen-elemen akademik yang sedemikian rupa. Malah, untuk beriadah juga kadang-kadang aku tidak ada masa. Jika ada masa sekali pun, kadang-kadang gelanggang bola keranjang pula kosong, tidak dihadiri kawan-kawan aku yang lain kerana kesibukan yang melanda mereka pula...=.=

Malah, personaliti aku juga sedikit sebanyak telah berubah. Mungkin kerana di sini, bilangan pelajar perempuan jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan bilangan pelajar lelaki. Jadi, jasad kerdil aku yang kadang-kadang bersikap selamba bercakap dan bergelak-ketawa bersama rakan-rakan lelaki kian terhakis dan semakin pudar. Jika difikirkan semula, tiada alasan logik yang dapat aku fikirkan untuk menjelaskan situasi ini. Tapi, akhirnya kerana aku dan rakan-rakan sudah berasa jemu untuk memikirkan faktor untuk 'fenomena' tersebut, kami pun membuat kesimpulan sendiri yang "Mungkin sebab kita segan kut, dengan student perempuan yang berlambak-lambak dekat keliling kita nih"....=.=

Langit kian kelihatan hambar di sini, dan matahari juga kian kelabu. Inilah alam kedewasaan dari kaca mata aku. Sekurang-kurangnya inilah yang dapat aku lihat buat masa ini.

Oleh kerana sudah semakin jarang bermain bola keranjang (tidak seperti zaman persekolahan dahulu, boleh kata setiap petang aku akan 'beraksi' di gelanggang belakang rumah), dan personaliti aku yang kian ditelan arus kedewasaan, akhirnya, untuk menghilangkan rasa bosan yang terkumpul kian hari, aku pun mengambil keputusan untuk fokus pada lukisan komik dan penulisan.

Jadi, di samping mengejar kecemerlangan akademik, dapat juga aku mengasah semula bakat melukis kartun yang sudah lama aku tinggalkan untuk menghilangkan rasa bosan. Setidak-tidaknya, imaginasi yang aku luahkan di atas helaian-helaian kertas tidak akan membuatkan dunia dewasa aku sunyi sepi tidak berlagu.

Tidak lupa juga, jika semasa berada di tingkatan lima dahulu aku berjuang bersama krew sahabat yang bergelar Ya-Ha Family, di sini juga aku mempunyai sahabat-sahabat yang menjadi sayap kiri dan kanan aku untuk terus berjuang mengecapi kejayaan bersama dalam hidup. Dan seperti biasa, pastinya sahabat-sahabat aku itu mempunyai gelaran masing-masing...

Antaranya ialah: Tony (Matnor), Ustad (Zubair), Timun (Epi), Apek (Safwan), Jejaka Jambu a.k.a J.J(Syamil), Badut (Rahman), Mike (Iliya), Rambo (Faizal), Satria (Sufi), Kawad (Izat), Mr.Bean (Afiq), Korea (Aiman), Thambi (Shahzwan)......errr, dan RAMAI LAGI. Untuk aku pula, 'kod nama' aku adalah Bonzer (Azim).

Mereka adalah skuad yang mewarnai hidup aku di kolej. Mungkin setiap seorang daripada kami sudah pun bergelar dewasa, tapi kadang-kadang jiwa kanak-kanak tu meresap juga merasuk jasad yang masing-masing merindui zaman persekolahan. Gelak- tawa, hilai- riang, suka-duka, pahit-manis, lumrah perjuangan yang sekilas dipandang kelihatan kejam dan kerlipan mata yang kedua kelihatan indah pula, semuanya kami kongsikan dalam usaha untuk sama-sama menggapai impian dalam kehidupan serta memahami erti sebenar kedewasaan. Mungkin itulah namanya persahabatan.

Benar, alam dewasa sememangnya sukar untuk ditempuhi. Jalan ini penuh onak berduri dan racun bergigi.  Tetapi, resam kehidupan memang begini. Lagipun, bukankah hidup akan akan menjadi hambar tanpa ujian dan dugaan daripada Ilahi? Haha, walau apa pun yang berlaku, kita perlu sentiasa berani untuk mara ke hadapan. Sebagai seorang lelaki sejati (mahupun wanita yang berani), kita perlu sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran.

Mungkin itu sahaja untuk kali ini. Harapan aku hanyalah 'member-member', geng-geng, saudara-saudari serta sahabat handai di luar sana dapatlah mengambil input yang berunsur ilmiah daripada penulisan aku yang tidak seberapa ini. Maklumlah, aku bukanlah seorang yang bijak dalam mengajar ataupun memberi impak kesedaran kepada orang lain. Aku sekadar berkongsi cerita yang berjaya aku kumpul dan jadikan koleksi nostalgia yang insyaAllah dapat aku kenang bila tiba masa tua aku nanti sebagai bahan untuk aku sembangkan kepada generasi akan datang.

Semoga berjumpa lagi,
'Until we meet again, Farewell'.
Assalamualikum w.b.t.

Kepada mereka yang kini sedang berjuang untuk memahami erti kehidupan dan kedewasaan, 'You are now a part of our CREW'...haha

No comments:

Post a Comment