kini kita sudah dewasa

Sunday, January 22, 2012

Destinasi 12: Eskapism

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you...

Sini ada sikit cerita motivasi la kawan...^^......

Pernah tak kau rasa lemah bila jumpa orang yang jauh lebih hebat, bijak atau bahasa mudahnya 'terer' daripada kau?

Pernah tak bila kau jumpa orang macam tu, kau rasa diri kau kerdil yang teramat sangat?

Dan kemudiannya kau rasa diri kau tak ubah seperti seekor semut yang bila-bila masa sahaja boleh dipijak, dijentik dan sebagainya?

Pernah tak lepas tu, kau jenuh memikirkan betapa diri kau tak berguna dan langsung tak mempunyai apa-apa kelebihan..."lebih baik aku lenyap sahaja dari tempat ini"?

Pernah tak kemudiannya kau mengalami 'burnout' dan ingin berputus asa selagi kau masih sempat berputus-asa?

Itu pun kerana malu dengan kelemahan diri sendiri, dan malu juga rasanya jika diketawakan oleh kawan-kawan yang jauh lebih bijak daripada kau?

Akhirnya, kau pun menangis seorang diri tanpa teman di sisi, dan sekurang-kurangnya itulah yang kau fikirkan....kau cuma berdiri seorang diri?

Dan timbul pula persepsi seperti : " Kawan-kawan aku genius semula jadi, boleh la cakap" atau " Mereka tu lain, aku ni lain, mana boleh samakan aku dengan diorang" serta tidak lupa juga " Aku rasa tempat ni bukan untuk aku dan memang aku tak layak pun duduk di sini"...?

Dan kemudian hati kau panas tiba-tiba, jiwa membara persis anasir yang jauh lebih panas daripada matahari, tangan kau genggam erat seolah-olah tidak ada lagi hari esok dan hari-hari yang bakal mendatang untuk kau genggam tangan kecil itu?

Kau menumbuk-numbuk dinding sekuat hati.......sekurang-kurangnya sekuat yang mampu endoskeleton kau tanggung...?

Bengkak tangan kau tak pasal-pasal....

Jiwa kacau, mendayu-dayu lagu kekecewaan kau laungkan...mata pula tak habis-habis mengalirkan air mata keberanian...

Itulah e.s.k.a.p.i.s.m wahai kawan...

Tapi, pernah tak kemudiannya kau secara automatik temasuk 'mode muhasabah spontan'?

Mulut kau tersenyum sambil mengucapkan SubhanAllah?

Diikuti kata-kata seperti : "Beratnya dugaan-Mu Ya Allah"...

"Kau bantulah hamba-Mu yang lemah lagi jahil serta hina ini"...dan saat itu juga barulah kau sedar yang kau tidak pernah pun berdiri seorang diri...?

Dan pernah tak, selepas itu, dalam pada kau melutut penuh kekecewaan, penuh kehampaan...

Kau kumpulkan semula sisa semangat yang ada...

Kau satukan semula serpihan keberanian yang tinggal...

Dan dengan jiwa yang tidak seberapa, kau cuba untuk bangkit semula...?

Kau berdiri dengan luka yang masih belum sempat sembuh, basah darah masih mengalir...

Namun, kau masih cuba wujudkan azam baru....

Pernah tak?

Pernah tak selepas itu kau cuba mengorak langkah....satu per satu langkah kau ukirkan atas jalan perjuangan...

Kemudian kau cuba pula untuk berlari....lebih laju, lebih laju.....dan jauh lebih laju......

Cuba menewaskan diri kau sendiri yang kian mengatakan : " Kau takkan mampu melakukannya"...

Kau permainkan segala persepsi negatif....Sungguhpun kau tahu...

Secebis harapan pun belum tentu masih wujud di hujung jalan yang kau pilih...

Namun, masih kau bangkit jua...

Untuk buktikan kepada takdir betapa kau bukanlah pengecut yang sekadar berani berkata-kata...

dan impian kau juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk takdir dan  masa hadapan persendakan...

kau cuba laungkan kata-kata yang mengungkap kekuatan tanpa batasan...

dan mencabar semula dunia yang suatu saat dahulu menjatuhkan kau, tersembam segala ego berkecai di atas bumi nyata logika dan realiti....

dan berfikir seluas lautan positif boleh membawa kau berlayar berpaksikannya...

sehingga akhirnya kau tersenyum kembali untuk merealisasikan mimpi-mimpi dahulu....?

berbekalkan niat murni dan persistensi untuk tidak mengaku kalah walau apa pun yang terjadi?

Pernah tak?

Jikalau itu pula yang kau rasakan, itulah yang kita katakan sebagai kekuatan yang sebenar kawan ^^...

'Always stand strong and don't ever give up' la geng....okeh? ^^
Salamuna'laikum...

Thursday, January 5, 2012

Destinasi 11: Merungkai 'Chromosome' Kehidupan

Bismilahirrahmanirrahim, Assalamualikum w.b.t and Peace be upon you...

Sekali lagi, 'mood' aku datang untuk mencoretkan penulisan yang tidak seberapa dalam ruangan virtual ni.
Pada kebiasaannya, sudah menjadi prinsip aku untuk tidak menggunakan internet untuk melayari laman-laman sosial pada hari selain hujung minggu. Memandangkan kerja aku pun tidak begitu banyak, dan besok pun tak banyak 'lecture', malam ni boleh la aku berkongsi sepatah dua kata. Senang kata, rilek juga la aku malam ni.

Chromosome. Tahu tak anasir apa yang aku karutkan malam ni?
Chromosome tu adalah bahan yang mengandungi maklumat genetik yang terdapat dalam diri kita.
Chromosome atau DNA adalah sesuatu yang amat unik pada pandangan mata aku. Terdapat terlalu banyak rahsia yang disimpan oleh bahan yang langsung tidak dapat dilihat oleh mata kasar ni. Bagaikan kod rahsia yang tersimpan dalam diri, dan kita sendiri pun terkadang-kadang tidak dapat memahami maksudnya.

Apa yang cuba aku maksudkan dengan 'Merungkai Chromosome Kehidupan' adalah perlakuan untuk cuba memahami erti sebenar kehidupan, untuk memahami dan cuba menyedari apa yang sedang berlaku di sekeliling kita sepanjang kita hidup, sepanjang kita ditelan arus usia.

Pernah anda, kamu, engkau dan awak sedari satu situasi yang mana jika kita lihat, keadaan dunia kelihatan sedikit terbalik......Hmm?....Tak faham?

Sedar tak kadang-kadang di sekeliling kita berlaku sesuatu yang sedikit 'paradoxical' apabila 'sistem monarki kehidupan seharian' membenarkan orang yang kuat memijak orang yang lemah, orang yang kaya menghina yang miskin, orang yang bijak menelan orang yang sederhana ilmunya? Dan yang membuatkan situasi ini lebih 'paradoxical' adalah golongan yang melakukan perkara  seperti ini pula yang diangkat dan disanjung-sanjung...

Keadaan kelihatan seperti sudah menjadi terbalik. Jika dahulu orang yang berpekerti mulia diangkat tinggi darjatnya, kini terdapat SEGELINITIR pihak yang mengangkat tinggi kedudukan mereka yang pandai menipu, menindas dan memijak kepala orang lain untuk meraih kuasa, pangkat dan kedudukan dalam hidup. Mereka yang bersikap seperti ini pula yang dianggap hebat. Haih, sungguh aneh =.=

Betul, chromosome kehidupan yang sebegini kelihatan aneh, tetapi tidak dapat aku nafikan yang perkara seperti ini sememangnya cukup menarik untuk dikaji dan dilihat dari pelbagai sudut perspektif! Malah, aku akan berasa 'teruja' setiap kali aku memikirkan persoalan seperti ini. Namun, semestinya aku teruja untuk mengetahui jawapan kepada permasalahan ini dan bukannnya teruja untuk melihat kitaran yang sama terus-menerus berulang.

Apa yang dapat aku lihat, kita sekarang seolah-olah sedang hidup di dalam dunia yang mengaplikasikan prinsip 'Survival of the Fittest'. Maksudnya, cuma orang yang kuat dapat meneruskan kehidupan, tidak kisah dengan cara apa sekali pun sama ada menindas ataupun memijak-mijak golongan yang dianggap 'inferior' kepada mereka.

Satu soalan menarik yang ingin aku tanyakan kepada anda yang masih tidak bosan membaca penulisan yang membosankan ini adalah: 'Tidak bolehkah jika kita hidup dalam situasi golongan yang kuat akan saling membantu golongan yang lemah dan begitu pula sebaliknya'? Dan seterusnya, sekali gus kita cipta kitaran kemasyarakatan yang baru... tidak bolehkah begitu?

Sebahagian daripada kita mungkin sudah mula terikut-ikut dengan perubahan zaman yang drastik. Tapi mari kita berfikir sejenak dan muhasabah diri kita yang kerdil dan tidak sehebat mana: Mengapa perlu kita juga mengikut cara berinteraksi yang salah?........Tidak berbaloi sebenarnya bro jika kita gadaikan prinsip kita semata-mata untuk tunduk kepada konsep yang salah dalam kehidupan.
Lebih elok jika kita hidup saling bekerjasama dan tolong-menolong seperti yang diajarkan oleh agama kita, Islam. Ya.....itulah yang sebaik-baiknya.....

Haha, rasanya malam ni aku lebih banyak mengarut daripada berusaha untuk mengarang sesuatu yang lebih berunsur ilmiah. Mungkin kerana minggu ini aku sedikit penat...haha, lumrah belajar di kolej, memang tidak pernah tidak berasa penat.

Sampai sini sajalah buat masa ni. Salamun alaikum...^^

Untuk mereka yang masih bertegas untuk berpihak kepada kebaikan dan bersungguh-sungguh mempertahankan prinsip murni dalam kehidupan......'you are now part of the crew'.

Monday, January 2, 2012

Destinasi 10: Setahun Bergelar Dewasa

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you.

Sepertimana yang kita sedia maklum, 2011 baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada kita dan tahun 2012 pula datang menjengah. Ini bermakna, umur kita sudah meningkat sebanyak satu anak tanggga lagi dan pada masa yang sama hayat kita pula sudah berkurang dan menurun satu anak tangga juga.

Untuk aku pula, tahun ini adalah tahun umur aku akan meningkat menjadi 19 tahun. Ya saudara-saudari yang setia membaca, sudah semakin tua aku ni sebenarnya. Fakta ini juga membawa maksud bahawa, sudah setahun jugalah aku melangkahkan kaki ke alam kedewasaan.

Sungguhpun begitu, sejujurnya, aku masih belum memahami sepenuhnya erti sebenar kedewasaan. Kehidupan di kolej mengizinkan aku untuk sedikit sebanyak mengenal erti kehidupan sebagai seorang dewasa. Daripada apa yang telah aku lihat sepanjang setahun aku bergelar seorang dewasa, boleh jugalah aku simpulkan bahawa alam dewasa adalah alam yang sedikit membosankan. Haha, mungkin kerana seorang yang bergelar dewasa itu perlu memikul pelbagai tanggungjawab dan aku pula, masih belum bersedia untuk memikul sebahagian daripadanya.

Alam dewasa sememangnya sungguh berbeza dengan alam persekolahan. Sebagai contoh, kehidupan sebagai seorang dewasa di kolej, sememangnya tidak memberi anda terlalu banyak peluang untuk menarik nafas lega. Kerja tutoran, 'assignments', nota kuliah, peta konsep, peta minda, kerja tambahan, kelas tambahan, program kecemerlangan, ceramah motivasi, program input semasa. Aku sentiasa digelumangi dengan elemen-elemen akademik yang sedemikian rupa. Malah, untuk beriadah juga kadang-kadang aku tidak ada masa. Jika ada masa sekali pun, kadang-kadang gelanggang bola keranjang pula kosong, tidak dihadiri kawan-kawan aku yang lain kerana kesibukan yang melanda mereka pula...=.=

Malah, personaliti aku juga sedikit sebanyak telah berubah. Mungkin kerana di sini, bilangan pelajar perempuan jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan bilangan pelajar lelaki. Jadi, jasad kerdil aku yang kadang-kadang bersikap selamba bercakap dan bergelak-ketawa bersama rakan-rakan lelaki kian terhakis dan semakin pudar. Jika difikirkan semula, tiada alasan logik yang dapat aku fikirkan untuk menjelaskan situasi ini. Tapi, akhirnya kerana aku dan rakan-rakan sudah berasa jemu untuk memikirkan faktor untuk 'fenomena' tersebut, kami pun membuat kesimpulan sendiri yang "Mungkin sebab kita segan kut, dengan student perempuan yang berlambak-lambak dekat keliling kita nih"....=.=

Langit kian kelihatan hambar di sini, dan matahari juga kian kelabu. Inilah alam kedewasaan dari kaca mata aku. Sekurang-kurangnya inilah yang dapat aku lihat buat masa ini.

Oleh kerana sudah semakin jarang bermain bola keranjang (tidak seperti zaman persekolahan dahulu, boleh kata setiap petang aku akan 'beraksi' di gelanggang belakang rumah), dan personaliti aku yang kian ditelan arus kedewasaan, akhirnya, untuk menghilangkan rasa bosan yang terkumpul kian hari, aku pun mengambil keputusan untuk fokus pada lukisan komik dan penulisan.

Jadi, di samping mengejar kecemerlangan akademik, dapat juga aku mengasah semula bakat melukis kartun yang sudah lama aku tinggalkan untuk menghilangkan rasa bosan. Setidak-tidaknya, imaginasi yang aku luahkan di atas helaian-helaian kertas tidak akan membuatkan dunia dewasa aku sunyi sepi tidak berlagu.

Tidak lupa juga, jika semasa berada di tingkatan lima dahulu aku berjuang bersama krew sahabat yang bergelar Ya-Ha Family, di sini juga aku mempunyai sahabat-sahabat yang menjadi sayap kiri dan kanan aku untuk terus berjuang mengecapi kejayaan bersama dalam hidup. Dan seperti biasa, pastinya sahabat-sahabat aku itu mempunyai gelaran masing-masing...

Antaranya ialah: Tony (Matnor), Ustad (Zubair), Timun (Epi), Apek (Safwan), Jejaka Jambu a.k.a J.J(Syamil), Badut (Rahman), Mike (Iliya), Rambo (Faizal), Satria (Sufi), Kawad (Izat), Mr.Bean (Afiq), Korea (Aiman), Thambi (Shahzwan)......errr, dan RAMAI LAGI. Untuk aku pula, 'kod nama' aku adalah Bonzer (Azim).

Mereka adalah skuad yang mewarnai hidup aku di kolej. Mungkin setiap seorang daripada kami sudah pun bergelar dewasa, tapi kadang-kadang jiwa kanak-kanak tu meresap juga merasuk jasad yang masing-masing merindui zaman persekolahan. Gelak- tawa, hilai- riang, suka-duka, pahit-manis, lumrah perjuangan yang sekilas dipandang kelihatan kejam dan kerlipan mata yang kedua kelihatan indah pula, semuanya kami kongsikan dalam usaha untuk sama-sama menggapai impian dalam kehidupan serta memahami erti sebenar kedewasaan. Mungkin itulah namanya persahabatan.

Benar, alam dewasa sememangnya sukar untuk ditempuhi. Jalan ini penuh onak berduri dan racun bergigi.  Tetapi, resam kehidupan memang begini. Lagipun, bukankah hidup akan akan menjadi hambar tanpa ujian dan dugaan daripada Ilahi? Haha, walau apa pun yang berlaku, kita perlu sentiasa berani untuk mara ke hadapan. Sebagai seorang lelaki sejati (mahupun wanita yang berani), kita perlu sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran.

Mungkin itu sahaja untuk kali ini. Harapan aku hanyalah 'member-member', geng-geng, saudara-saudari serta sahabat handai di luar sana dapatlah mengambil input yang berunsur ilmiah daripada penulisan aku yang tidak seberapa ini. Maklumlah, aku bukanlah seorang yang bijak dalam mengajar ataupun memberi impak kesedaran kepada orang lain. Aku sekadar berkongsi cerita yang berjaya aku kumpul dan jadikan koleksi nostalgia yang insyaAllah dapat aku kenang bila tiba masa tua aku nanti sebagai bahan untuk aku sembangkan kepada generasi akan datang.

Semoga berjumpa lagi,
'Until we meet again, Farewell'.
Assalamualikum w.b.t.

Kepada mereka yang kini sedang berjuang untuk memahami erti kehidupan dan kedewasaan, 'You are now a part of our CREW'...haha