kini kita sudah dewasa

Thursday, November 1, 2012

Cerita Aku dan Encik Handphone

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be Upon You...

    Kepala dah berasap. Medulla oblongata sudah mula rasa kejang. Retina dah mula kuyu. Buku biologi di tangan masih diselak-selak dengan emosi tak keruan yang disulam dengan adrenaline yang menggila...bagaikan minuman berkarbonat yang digoncang bagai hilang kewarasan minda, dan dilepaskan di muka kawan baik anda....bezanya, aku pada masa itu tak dapat nak melepaskan tekanan yang membelenggu rohani aku yang secara jelasnya tidak mencapai 'equilibrium state'....."tension study barangkali", kata kawan baik aku yang separuh gila juga aku lihat dengan buku dan nota-nota biologinya.....manakan tidak, besok exam!

   Geng-geng yang tidak mengambil subjek tersebut semuanya gila dengan lawak masing-masing...tak habis-habis membuat lawak tentang betapa mereka tidak perlu bangun awal (solat subuh juga pukul 10 pagi 'barangkali') dan masing-masing boleh terbongkang di katil empuk tanpa mengendahkan para pemburu ilmu kaji hayat yang bakal berjuang di medan peperiksaan....dengan kekeliruan tentang topik biodiversity dan nama-nama saintifik bahasa Latin yang menjengkelkan (pada satu-satu tahap).....ceh, saintis dan kemerapuan mereka....takkan pernah habis....

   Dalam kegilaan merangkap kebengongan itu....tangan aku membuat tindakan spontan di bawah takat sedar, dan mencapai handphone kenit bergelar XPERIA MINI ( yang sememangnya kontra dengan saiz ketinggian semasa aku ) dan mula men' dial ' apa yang aku percaya dipanggil, 'Nombor Telefon'...

   Telefon di sana berbunyi....tut, tut.....tut, tut.......

"Hello" (ada yang menjawab)

"Hello , Assalamualaikum...."

" Waalaikummussalam, Azim ka? "

"Yup, HANG ADA DEKAT MANA?"

"Huh? (kebingungan), ada dekat kolej la, kenapa?"

"HANG TENGAH BUAT APA?"

"Haik??? (Jauh lebih tenggelam dalam kebengongan), aku tengah....err....duduk-duduk dengan roomate aku, apsal?"

"HANG DAH MAKAN BELUM?"

"Dah"

"HANG SIHAT TAK?"

"Sihat Alhamdulillah....hang macam mana?"

"Ouh, hang sihat. Aku pun sihat Alhamdulillah....okeh, Assalamualaikum"....*terus letak telefon*....

dan kegilaan diteruskan dengan member-member lain yang di'call'......cuma soalan tu bertambah-tambah hebat dan dahsyat...

"Hang dekat mana?"

"Hang dah kahwin belum?"

"Hang bila nak bertunang?"

"Dah graduate nanti hang nak kerja apa?"

"Hang nak pakai kereta apa?"

"Nanti hang nak anak berapa?"

"Nanti hang nak bagi nama anak-anak hang apa?"

Yup....kegilaan yang melampau.......
Terima kasih kepada comrade-comrade aku yang tak jemu melayan kegilaan aku dan imaginasi tahap hyperactive aku yang magnitude nya tak pernah menurun sejak dulu....

Pengajaran yang jelas dan nyata dari penceritaan aku ini adalah = Tangani lah tekanan dengan baik dan jangan sesekali anda melupakan Allah S.W.T...sungguhpun anda telah mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan pada besok hari....Yahahaha, muahaahahaha....

Yang Berkongsi Dengan Ikhlas:
Cikgu Azim.......
"Hang Dah Kahwin Belum?"

Salamullah'alayk...have a good day and , of course, live a good life bro/sis...^_^

Sunday, September 16, 2012

Destinasi 14: Menulusuri erti sebenar Nakama,

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you...

Apa benda nakama tu geng???....
 Sebelum aku define terma nakama ni dengan tingkat ilmu yang aku ada dan berdasarkan apa yg aku rasa tepat dan parallel dengan ertinya yg sebenar, biar aku ajukan beberapa senario kehidupan seharian kita...

Sepanjang aku hidup dan menulusuri liku-liku pengembaraan di alam dewasa, aku telah disajikan dengan beberapa keadaan yang boleh aku kata agak memberi impak yang mendalam kepada persepsi aku terhadap cara manusia berfikir dan mekanism tingkah laku organisma yg digelar Homo sapiens nih...bagi yg sudah pening dengan apa yg aku repekkan ini, sila abaikan dan teruskan membaca coretan seterusnya (jika anda mampu menanggung lebih banyak celoteh tahap ekstrem daripada aku)...

Semasa zaman muda belia aku di sekolah menengah, bersakit-sakit bersama rakan-rakan yg lain sudah menjadi perkara biasa dalam usaha untuk 'SAMA-SAMA' mengecapi kejayaan....

Namun, yang membuatkan aku sedikit sedih, semakin aku meningkat dewasa, apa yg dapat aku lihat adalah sikap sanggup bersusah-payah demi orang lain itu sudah semakin kurang dapat aku lihat...sebaliknya, apa yg kerap kali dapat aku lihat adalah situasi di mana terdapat orang yg sanggup memijak kepala rakan-rakan yang lain semata-mata untuk meraih kedudukan, pangkat, gaji yang lebih mahupun pengaruh ataupun perhatian daripada para 'badut' yang diangkat tinggi kerana harta yang mereka miliki.....ironik sungguh...

Haha, apa yg cuba aku smpaikan dalam penulisan aku yg tidak seberapa ni, adalah betapa kita semakin sukar untuk mencari para rakan yang sebenar-benar rakan pada era 'nuklear' ini...

Aku tak dapat menulis panjang pada kali ini kerana sakit kepala yg bagaikan tak sabar2 hendak memecahkan kepala aku, mungkin aku akan cuba ulas tajuk ini lagi pada masa akan datang, insyaAllah ^_^...

Jadi, di sini, dapatlah aku senaraikan beberapa ciri shabat yg baik :

1. Sentiasa mengingatkan kita kepada Allah S.W.T ketika susah mahupun senang
2. Sentiasa mengajak kita kepada kebaikan
3. Berjuang bersama kita ketika susah

Sehingga berjumpa lagi geng, Assalamualaikum



Friday, May 11, 2012

Destinasi 13: Puncak Alam tidak pernah semanis ini

Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you...

Rasanya sudah 2 minggu aku dan krew KMPk yang seangkatan dengan aku menikmati cuti sem ke-2 selepas berhempas pulas berjuang menentang PSPM 2...peperiksaan yang sememangnya tak mampu aku nafikan, sungguh menyakitkan.

Semester 2 adalah semester yang boleh aku katakan sedikit gila daripada semester sebelumnya. Tapi fokus penceritaan aku bukanlah tentang perjuangan aku dalam menempuh hari-hari yang dikandung oleh period masa sepanjang semester ke-2 sesi pembelajaran aku di Kolej Matrikulasi Perak. Tetapi cuti yang sungguh menenangkan jiwa aku daripada hiruk-pikuk kesibukan hidup di kolej...hidup di alam seusai era persekolahan.

"Azim! Mana lab report awak?"
"Petang ini awak semua perlu hantar assignment"
"Siapkan mind map"
"Buat presentation untuk minggu depan"
"Bila nak buat perbincangan?"
"Jom buat study group, nanti ada topical quiz"
"Mana kau, aku dah ada dekat library, kata ada SCRUM?"

Buat masa ini.........cerebrum aku terasa sungguh tenang....mungkin kerana tidak perlu memproses input-input seperti yang tertera di atas. Segala belenggu, rantai kesibukan di dunia pendidikan tertiari yang membebani kapasiti kerdil yang menjadi simbol kelemahan diri aku sebagai seorang manusia, terurai buat sementara waktu...mengizinkan aku menenangkan jiwa...melelapkan mata daripada memandang kesibukan tak kena gaya.

Wahai sahabat, cuti aku tidak di'raikan' semewah sahabat lain di luar sana....yang pergi melancong ke sini dan sana bagi melepaskan stress serta tekanan menggila yang melanda hemisfera otak kiri dan kanan.

Cuti aku, di'raikan' di teratak kecil bergelar rumah yang aku iktiraf sebagai tempat tinggal yang sungguh-sungguh aku percaya sebagai pelengkap kepada sebahagian daripada cebisan kecil yang membentuk jasad aku. Tempat yang kebanyakan orang barat gelarkan sebagai 'HOME'......dan tambahan kepada terma tersebut, tersusun kemas kata-kata: 'SWEET HOME".....ya kawan-kawan.....'HOME SWEET HOME'.

Terasa sungguh cukup dengan apa yang ada di rumah kecil aku, terasa sungguh cukup dengan apa kiranya kesederhanaan yang terdapat di bumi Puncak Alam.
Berada di samping keluarga, berjumpa dengan komrad lama dan baru, Nakama yang sentiasa bersama aku dalam setiap perjuangan sejak di bangku sekolah rendah lagi sehinggalah sekarang-Alhamdulillah- berjalan kaki ke surau-sepelaung dari rumah cuma- sambil menikmati desir angin lembut mengusap nostalgia lama, menemani si ummi menonton Hindustan yang aku sendiri tidak faham akan jalan ceritanya yang berputar-putar menipu pancaindera aku, bersembang-sembang kosong dengan si bapak yang tidak jemu mendengar celoteh aku tentang hidup di dunia luar-tentang pengembaraan aku di dunia dewasa- menghantar adik ke pusat tuisyen...

Tidak lupa juga, masa aku yang terisi dengan aktiviti bola keranjang...sudah tentunya, bersama hero-hero lama yang penat lelah mereka masih aku ingat semasa kami sama-sama menjalani latihan bagi mewakili sekolah kami di peringkat daerah.

Aku dan member2 di sana....memerlukan secebis rehat buat masa ini
Harith sebagai shooting guard, Molle' sebagai point guard, Syafi sebagai power forward...aku sebagai centre. Sekembalinya aku dari tanah Gopeng kembali ke sini, terasa seolah-olah bola keranjang yang sudah hampir 5 tahun aku bergelumang dengannya tidak pernah hingga begini sekali indahnya.......sungguh pun aku tidak lah bermain di gelanggang yang lantainya daripada papan mahal yang bersalut getah istimewa, dan 'board' yang diperbuat daripada fibre glass.....sekadar bermain di gelanggang simen dan 'board' yang diperbuat daripada kayu......namun di situlah hidup aku sebagai peminat dan pemain bola keranjang bermula...tempat kami berkongsi minat yang sama......suka-duka dan penat lelah yang telah kami raikan dengan begitu gembira...

Puncak Alam......apa yang begitu hebat tentang bumi kecil ini?
Tidak ada shopping complex, tidak ada panggung wayang, tidak ada itu tidak ada ini....
Mungkin inilah kata-kata yang akan terpacul dari mulut seorang anak bandar yang tidak mengenali bumi ini dalam hidupnya selama ini....

Namun pada aku, bumi kecil inilah tempat tersimpannya bertimbun-timbun nostalgia dan pengalaman sepanjang aku membesar sebagai seorang yang mungkin sekadar boleh aku katakan separa-dewasa buat masa ini.

Sungguh..baru sahaja 2 minggu bercuti, terasa sungguh nikmat bermain bola keranjang di bumi kecil ini, di gelanggang yang tidak se'istimewa' mana ini. Berjumpa dengan sahabat seperjuangan suatu masa dahulu, riang-tawa mereka masih yang sama, masih 'NUMBER 1'......

Sentimental jua rasa jiwa...

Bola keranjang tidak pernah semanis ini....

Puncak Alam......tidak pernah semanis ini...



Semanis membebaskan diri buat seketika, daripada sifat 'hectic' kehidupan di bumi nyata...sebelum menyambung perjuangan semester 3 insyaAllah...

Sunday, January 22, 2012

Destinasi 12: Eskapism

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you...

Sini ada sikit cerita motivasi la kawan...^^......

Pernah tak kau rasa lemah bila jumpa orang yang jauh lebih hebat, bijak atau bahasa mudahnya 'terer' daripada kau?

Pernah tak bila kau jumpa orang macam tu, kau rasa diri kau kerdil yang teramat sangat?

Dan kemudiannya kau rasa diri kau tak ubah seperti seekor semut yang bila-bila masa sahaja boleh dipijak, dijentik dan sebagainya?

Pernah tak lepas tu, kau jenuh memikirkan betapa diri kau tak berguna dan langsung tak mempunyai apa-apa kelebihan..."lebih baik aku lenyap sahaja dari tempat ini"?

Pernah tak kemudiannya kau mengalami 'burnout' dan ingin berputus asa selagi kau masih sempat berputus-asa?

Itu pun kerana malu dengan kelemahan diri sendiri, dan malu juga rasanya jika diketawakan oleh kawan-kawan yang jauh lebih bijak daripada kau?

Akhirnya, kau pun menangis seorang diri tanpa teman di sisi, dan sekurang-kurangnya itulah yang kau fikirkan....kau cuma berdiri seorang diri?

Dan timbul pula persepsi seperti : " Kawan-kawan aku genius semula jadi, boleh la cakap" atau " Mereka tu lain, aku ni lain, mana boleh samakan aku dengan diorang" serta tidak lupa juga " Aku rasa tempat ni bukan untuk aku dan memang aku tak layak pun duduk di sini"...?

Dan kemudian hati kau panas tiba-tiba, jiwa membara persis anasir yang jauh lebih panas daripada matahari, tangan kau genggam erat seolah-olah tidak ada lagi hari esok dan hari-hari yang bakal mendatang untuk kau genggam tangan kecil itu?

Kau menumbuk-numbuk dinding sekuat hati.......sekurang-kurangnya sekuat yang mampu endoskeleton kau tanggung...?

Bengkak tangan kau tak pasal-pasal....

Jiwa kacau, mendayu-dayu lagu kekecewaan kau laungkan...mata pula tak habis-habis mengalirkan air mata keberanian...

Itulah e.s.k.a.p.i.s.m wahai kawan...

Tapi, pernah tak kemudiannya kau secara automatik temasuk 'mode muhasabah spontan'?

Mulut kau tersenyum sambil mengucapkan SubhanAllah?

Diikuti kata-kata seperti : "Beratnya dugaan-Mu Ya Allah"...

"Kau bantulah hamba-Mu yang lemah lagi jahil serta hina ini"...dan saat itu juga barulah kau sedar yang kau tidak pernah pun berdiri seorang diri...?

Dan pernah tak, selepas itu, dalam pada kau melutut penuh kekecewaan, penuh kehampaan...

Kau kumpulkan semula sisa semangat yang ada...

Kau satukan semula serpihan keberanian yang tinggal...

Dan dengan jiwa yang tidak seberapa, kau cuba untuk bangkit semula...?

Kau berdiri dengan luka yang masih belum sempat sembuh, basah darah masih mengalir...

Namun, kau masih cuba wujudkan azam baru....

Pernah tak?

Pernah tak selepas itu kau cuba mengorak langkah....satu per satu langkah kau ukirkan atas jalan perjuangan...

Kemudian kau cuba pula untuk berlari....lebih laju, lebih laju.....dan jauh lebih laju......

Cuba menewaskan diri kau sendiri yang kian mengatakan : " Kau takkan mampu melakukannya"...

Kau permainkan segala persepsi negatif....Sungguhpun kau tahu...

Secebis harapan pun belum tentu masih wujud di hujung jalan yang kau pilih...

Namun, masih kau bangkit jua...

Untuk buktikan kepada takdir betapa kau bukanlah pengecut yang sekadar berani berkata-kata...

dan impian kau juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk takdir dan  masa hadapan persendakan...

kau cuba laungkan kata-kata yang mengungkap kekuatan tanpa batasan...

dan mencabar semula dunia yang suatu saat dahulu menjatuhkan kau, tersembam segala ego berkecai di atas bumi nyata logika dan realiti....

dan berfikir seluas lautan positif boleh membawa kau berlayar berpaksikannya...

sehingga akhirnya kau tersenyum kembali untuk merealisasikan mimpi-mimpi dahulu....?

berbekalkan niat murni dan persistensi untuk tidak mengaku kalah walau apa pun yang terjadi?

Pernah tak?

Jikalau itu pula yang kau rasakan, itulah yang kita katakan sebagai kekuatan yang sebenar kawan ^^...

'Always stand strong and don't ever give up' la geng....okeh? ^^
Salamuna'laikum...

Thursday, January 5, 2012

Destinasi 11: Merungkai 'Chromosome' Kehidupan

Bismilahirrahmanirrahim, Assalamualikum w.b.t and Peace be upon you...

Sekali lagi, 'mood' aku datang untuk mencoretkan penulisan yang tidak seberapa dalam ruangan virtual ni.
Pada kebiasaannya, sudah menjadi prinsip aku untuk tidak menggunakan internet untuk melayari laman-laman sosial pada hari selain hujung minggu. Memandangkan kerja aku pun tidak begitu banyak, dan besok pun tak banyak 'lecture', malam ni boleh la aku berkongsi sepatah dua kata. Senang kata, rilek juga la aku malam ni.

Chromosome. Tahu tak anasir apa yang aku karutkan malam ni?
Chromosome tu adalah bahan yang mengandungi maklumat genetik yang terdapat dalam diri kita.
Chromosome atau DNA adalah sesuatu yang amat unik pada pandangan mata aku. Terdapat terlalu banyak rahsia yang disimpan oleh bahan yang langsung tidak dapat dilihat oleh mata kasar ni. Bagaikan kod rahsia yang tersimpan dalam diri, dan kita sendiri pun terkadang-kadang tidak dapat memahami maksudnya.

Apa yang cuba aku maksudkan dengan 'Merungkai Chromosome Kehidupan' adalah perlakuan untuk cuba memahami erti sebenar kehidupan, untuk memahami dan cuba menyedari apa yang sedang berlaku di sekeliling kita sepanjang kita hidup, sepanjang kita ditelan arus usia.

Pernah anda, kamu, engkau dan awak sedari satu situasi yang mana jika kita lihat, keadaan dunia kelihatan sedikit terbalik......Hmm?....Tak faham?

Sedar tak kadang-kadang di sekeliling kita berlaku sesuatu yang sedikit 'paradoxical' apabila 'sistem monarki kehidupan seharian' membenarkan orang yang kuat memijak orang yang lemah, orang yang kaya menghina yang miskin, orang yang bijak menelan orang yang sederhana ilmunya? Dan yang membuatkan situasi ini lebih 'paradoxical' adalah golongan yang melakukan perkara  seperti ini pula yang diangkat dan disanjung-sanjung...

Keadaan kelihatan seperti sudah menjadi terbalik. Jika dahulu orang yang berpekerti mulia diangkat tinggi darjatnya, kini terdapat SEGELINITIR pihak yang mengangkat tinggi kedudukan mereka yang pandai menipu, menindas dan memijak kepala orang lain untuk meraih kuasa, pangkat dan kedudukan dalam hidup. Mereka yang bersikap seperti ini pula yang dianggap hebat. Haih, sungguh aneh =.=

Betul, chromosome kehidupan yang sebegini kelihatan aneh, tetapi tidak dapat aku nafikan yang perkara seperti ini sememangnya cukup menarik untuk dikaji dan dilihat dari pelbagai sudut perspektif! Malah, aku akan berasa 'teruja' setiap kali aku memikirkan persoalan seperti ini. Namun, semestinya aku teruja untuk mengetahui jawapan kepada permasalahan ini dan bukannnya teruja untuk melihat kitaran yang sama terus-menerus berulang.

Apa yang dapat aku lihat, kita sekarang seolah-olah sedang hidup di dalam dunia yang mengaplikasikan prinsip 'Survival of the Fittest'. Maksudnya, cuma orang yang kuat dapat meneruskan kehidupan, tidak kisah dengan cara apa sekali pun sama ada menindas ataupun memijak-mijak golongan yang dianggap 'inferior' kepada mereka.

Satu soalan menarik yang ingin aku tanyakan kepada anda yang masih tidak bosan membaca penulisan yang membosankan ini adalah: 'Tidak bolehkah jika kita hidup dalam situasi golongan yang kuat akan saling membantu golongan yang lemah dan begitu pula sebaliknya'? Dan seterusnya, sekali gus kita cipta kitaran kemasyarakatan yang baru... tidak bolehkah begitu?

Sebahagian daripada kita mungkin sudah mula terikut-ikut dengan perubahan zaman yang drastik. Tapi mari kita berfikir sejenak dan muhasabah diri kita yang kerdil dan tidak sehebat mana: Mengapa perlu kita juga mengikut cara berinteraksi yang salah?........Tidak berbaloi sebenarnya bro jika kita gadaikan prinsip kita semata-mata untuk tunduk kepada konsep yang salah dalam kehidupan.
Lebih elok jika kita hidup saling bekerjasama dan tolong-menolong seperti yang diajarkan oleh agama kita, Islam. Ya.....itulah yang sebaik-baiknya.....

Haha, rasanya malam ni aku lebih banyak mengarut daripada berusaha untuk mengarang sesuatu yang lebih berunsur ilmiah. Mungkin kerana minggu ini aku sedikit penat...haha, lumrah belajar di kolej, memang tidak pernah tidak berasa penat.

Sampai sini sajalah buat masa ni. Salamun alaikum...^^

Untuk mereka yang masih bertegas untuk berpihak kepada kebaikan dan bersungguh-sungguh mempertahankan prinsip murni dalam kehidupan......'you are now part of the crew'.

Monday, January 2, 2012

Destinasi 10: Setahun Bergelar Dewasa

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t and Peace be upon you.

Sepertimana yang kita sedia maklum, 2011 baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada kita dan tahun 2012 pula datang menjengah. Ini bermakna, umur kita sudah meningkat sebanyak satu anak tanggga lagi dan pada masa yang sama hayat kita pula sudah berkurang dan menurun satu anak tangga juga.

Untuk aku pula, tahun ini adalah tahun umur aku akan meningkat menjadi 19 tahun. Ya saudara-saudari yang setia membaca, sudah semakin tua aku ni sebenarnya. Fakta ini juga membawa maksud bahawa, sudah setahun jugalah aku melangkahkan kaki ke alam kedewasaan.

Sungguhpun begitu, sejujurnya, aku masih belum memahami sepenuhnya erti sebenar kedewasaan. Kehidupan di kolej mengizinkan aku untuk sedikit sebanyak mengenal erti kehidupan sebagai seorang dewasa. Daripada apa yang telah aku lihat sepanjang setahun aku bergelar seorang dewasa, boleh jugalah aku simpulkan bahawa alam dewasa adalah alam yang sedikit membosankan. Haha, mungkin kerana seorang yang bergelar dewasa itu perlu memikul pelbagai tanggungjawab dan aku pula, masih belum bersedia untuk memikul sebahagian daripadanya.

Alam dewasa sememangnya sungguh berbeza dengan alam persekolahan. Sebagai contoh, kehidupan sebagai seorang dewasa di kolej, sememangnya tidak memberi anda terlalu banyak peluang untuk menarik nafas lega. Kerja tutoran, 'assignments', nota kuliah, peta konsep, peta minda, kerja tambahan, kelas tambahan, program kecemerlangan, ceramah motivasi, program input semasa. Aku sentiasa digelumangi dengan elemen-elemen akademik yang sedemikian rupa. Malah, untuk beriadah juga kadang-kadang aku tidak ada masa. Jika ada masa sekali pun, kadang-kadang gelanggang bola keranjang pula kosong, tidak dihadiri kawan-kawan aku yang lain kerana kesibukan yang melanda mereka pula...=.=

Malah, personaliti aku juga sedikit sebanyak telah berubah. Mungkin kerana di sini, bilangan pelajar perempuan jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan bilangan pelajar lelaki. Jadi, jasad kerdil aku yang kadang-kadang bersikap selamba bercakap dan bergelak-ketawa bersama rakan-rakan lelaki kian terhakis dan semakin pudar. Jika difikirkan semula, tiada alasan logik yang dapat aku fikirkan untuk menjelaskan situasi ini. Tapi, akhirnya kerana aku dan rakan-rakan sudah berasa jemu untuk memikirkan faktor untuk 'fenomena' tersebut, kami pun membuat kesimpulan sendiri yang "Mungkin sebab kita segan kut, dengan student perempuan yang berlambak-lambak dekat keliling kita nih"....=.=

Langit kian kelihatan hambar di sini, dan matahari juga kian kelabu. Inilah alam kedewasaan dari kaca mata aku. Sekurang-kurangnya inilah yang dapat aku lihat buat masa ini.

Oleh kerana sudah semakin jarang bermain bola keranjang (tidak seperti zaman persekolahan dahulu, boleh kata setiap petang aku akan 'beraksi' di gelanggang belakang rumah), dan personaliti aku yang kian ditelan arus kedewasaan, akhirnya, untuk menghilangkan rasa bosan yang terkumpul kian hari, aku pun mengambil keputusan untuk fokus pada lukisan komik dan penulisan.

Jadi, di samping mengejar kecemerlangan akademik, dapat juga aku mengasah semula bakat melukis kartun yang sudah lama aku tinggalkan untuk menghilangkan rasa bosan. Setidak-tidaknya, imaginasi yang aku luahkan di atas helaian-helaian kertas tidak akan membuatkan dunia dewasa aku sunyi sepi tidak berlagu.

Tidak lupa juga, jika semasa berada di tingkatan lima dahulu aku berjuang bersama krew sahabat yang bergelar Ya-Ha Family, di sini juga aku mempunyai sahabat-sahabat yang menjadi sayap kiri dan kanan aku untuk terus berjuang mengecapi kejayaan bersama dalam hidup. Dan seperti biasa, pastinya sahabat-sahabat aku itu mempunyai gelaran masing-masing...

Antaranya ialah: Tony (Matnor), Ustad (Zubair), Timun (Epi), Apek (Safwan), Jejaka Jambu a.k.a J.J(Syamil), Badut (Rahman), Mike (Iliya), Rambo (Faizal), Satria (Sufi), Kawad (Izat), Mr.Bean (Afiq), Korea (Aiman), Thambi (Shahzwan)......errr, dan RAMAI LAGI. Untuk aku pula, 'kod nama' aku adalah Bonzer (Azim).

Mereka adalah skuad yang mewarnai hidup aku di kolej. Mungkin setiap seorang daripada kami sudah pun bergelar dewasa, tapi kadang-kadang jiwa kanak-kanak tu meresap juga merasuk jasad yang masing-masing merindui zaman persekolahan. Gelak- tawa, hilai- riang, suka-duka, pahit-manis, lumrah perjuangan yang sekilas dipandang kelihatan kejam dan kerlipan mata yang kedua kelihatan indah pula, semuanya kami kongsikan dalam usaha untuk sama-sama menggapai impian dalam kehidupan serta memahami erti sebenar kedewasaan. Mungkin itulah namanya persahabatan.

Benar, alam dewasa sememangnya sukar untuk ditempuhi. Jalan ini penuh onak berduri dan racun bergigi.  Tetapi, resam kehidupan memang begini. Lagipun, bukankah hidup akan akan menjadi hambar tanpa ujian dan dugaan daripada Ilahi? Haha, walau apa pun yang berlaku, kita perlu sentiasa berani untuk mara ke hadapan. Sebagai seorang lelaki sejati (mahupun wanita yang berani), kita perlu sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran.

Mungkin itu sahaja untuk kali ini. Harapan aku hanyalah 'member-member', geng-geng, saudara-saudari serta sahabat handai di luar sana dapatlah mengambil input yang berunsur ilmiah daripada penulisan aku yang tidak seberapa ini. Maklumlah, aku bukanlah seorang yang bijak dalam mengajar ataupun memberi impak kesedaran kepada orang lain. Aku sekadar berkongsi cerita yang berjaya aku kumpul dan jadikan koleksi nostalgia yang insyaAllah dapat aku kenang bila tiba masa tua aku nanti sebagai bahan untuk aku sembangkan kepada generasi akan datang.

Semoga berjumpa lagi,
'Until we meet again, Farewell'.
Assalamualikum w.b.t.

Kepada mereka yang kini sedang berjuang untuk memahami erti kehidupan dan kedewasaan, 'You are now a part of our CREW'...haha